Keahlian Dewan Perwakilan Australia

Dewan ini mempunyai seramai 150 orang anggota yang dipilih melalui sistem pilihanraya satu kawasan satu kerusi. Setiap kawasan mempunyai jumlah pengundi di dalam lingkungan 59,000 dan 120,000 pengundi. Jumlah pengundi bagi satu-satu kawasan dikira berdasarkan kependudukan di kawasan tersebut. Peruntukan kawasan pilihanraya dilakukan oleh Pesuruhjaya Pilihanraya dengan cara membahagikan jumlah warganegara Komanwel Australia dengan dua kali ganda bilangan senator. Jumlah penduduk di setiap negeri atau wilayah kemudiannya dibahagikan dengan kuota yang awal tadi untuk menentukan bilangan anggota dewan yang diperuntukan untuk setiap negeri dan wilayah. Berdasarkan Perlembagaan, setiap negeri asal dijamin sekurang-kurangnya 5 perwakilan. Parlimen Persekutuan telah juga menetapkan bahawa Wilayah Ibu Negara Australia dan Wilayah Utara masing-masing harus memiliki sekurang-kurangnya satu perwakilan.

Ahli-ahli dewan dilantik berkhidmat untuk tidak lebih daripada tiga tahun. Selepas daripada tempoh ini satu pengundian baru diadakan bagi melantik dewan yang baru. Pilihanraya umum ini disertai oleh pengundi-pengundi di seluruh negara. Undian dijalankan menggunakan sistem keutamaan. Dalam sistem ini pengundi-pengundi menyusun kedudukan calon-calon yang bertanding mengikut keutamaan.

Parti-parti politik utama yang sering menghantar perwakilan ialah Parti Buruh Australia (APL), Parti Liberal dan juga Parti Kebangsaan Australia. Sejak akhir-akhir ini terdapat juga ahli-ahli dewan yang mewakil parti-parti bebas atau ahli yang tidak bersekutu dengan mana-mana parti.